Sabah FC tetap buru kemenangan walau hilang beberapa tonggak

Sabah FC tetap buru kemenangan walau hilang beberapa tonggak

Kota Kinabalu: Meskipun beberapa pemain utama mengalami kecederaan, Sabah FC tetap akan turun untuk memburu kemenangan apabila melayan kunjungan Respect FC dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad kendaliannya perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi memastikan rentak mereka tidak terjejas pada aksi-aksi seterusnya.

“Pemain akan diturunkan malam esok sudah pasti merupakan kesebelasan terbaik manakala pemain yang cedera akan direhatkan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Kita tidak akan mengambil risiko berikutan perjalanan Liga Super dan Piala FA baru memasuki pusingan awal serta memerlukan rehat yang secukupnya.

“Apa yang penting kita harus kekalkan momentum kemenangan bagi membolehkan terus layak ke pusingan seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC menetapkan sasaran agar dapat melangkah jauh dalam siangan Piala FA sekali gus mengekalkan kemenangan ketika beraksi di laman sendiri.

“Target dalam perlawanan, kita inginkan kemenangan dalam saingan Piala FA… Sabah FC harus menang jika ingin melangkah ke pusingan seterusnya.

“Selepas ini saingan Piala FA pastinya akan bertambah rancak apabila bertemu pasukan lebih kuat dalam pusingan kedua nanti,” katanya.

Kim Swee turut mengingatkan anak didiknya agar tidak mengambil mudah perlawanan esok meskipun berhadapan dengan pasukan Respect FC yang bermain dalam Liga M3.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|