Bola sepak persahabatan IPD KK dan SJA kukuhkan kerjasama polis dengan media

Bola sepak persahabatan IPD KK dan SJA kukuhkan kerjasama polis dengan media

Kota Kinabalu: Perlawanan bola sepak persahabatan di antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan Persatuan Wartawan Sabah (SJA), di sini, semalam menjadi landasan penting untuk mengukuhkan lagi silaturahim kedua-dua pihak.

Perlawanan berkeputusan 6-1 yang dimenangi IPD Kota Kinabalu itu diadakan hasil inisiatif kedua pihak yang sentiasa bekerjasama dari semasa ke semasa.

Sesi penyerahan cenderahati antara Mohd Zaidi dan wakil SJA sebelum perlawanan diadakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tujuan utama perlawanan persahabatan itu diadakan adalah untuk meningkatkan lagi kekuatan fizikal dan mental.

Katanya, secara umumnya semua mengetahui tugasan polis dan media sentiasa bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu.

Mohd Zaidi melakukan sepakan sebagai simbolik perasmian perlawanan persahabatan antara IPD Kota Kinabalu dan SJA

“Polis dan media saling memerlukan, oleh itu, kita berharap melakui aktiviti bola sepak persahabatan akan memantapkan lagi kesefahaman dan hubungan baik kedua-dua pihak.

“Ia tidak hanya menerusi bola sepak, malah IPD Kota Kinabalu juga mempunyai pelbagai pasukan sukan seperti badminton, bola tampar dan menembak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan perlawanan persahabatan yang diadakan di Padang Sukma, di sini, semalam.

Mohd Zaidi berkata, menerusi sukan, ia sudah pasti membantu dalam meningkatkan lagi prestasi kerja masing-masing.

Sementara itu, Jurucakap SJA, Fardy Bungga berkata, matlamat penganjuran perlawanan persahabatan itu adalah untuk memupuk dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia bertujuan untuk mendidik semua yang terlibat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan penyertaan aktif dalam bidang sukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|