KPDNHEP Tawau rampas 727 liter diesel

KPDNHEP Tawau rampas 727 liter diesel

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tawau merampas 727 liter diesel bersubsidi dipercayai cuba diseleweng dalam satu operasi di daerah ini, semalam.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, anggota penguatkuasa KPDNHEP turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 30-an.

Penguatkuasa KPDNHEP bersama dua lori yang dirampas dalam operasi mengesan penyelewengan diesel di Tawau.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin, berkata rampasan itu hasil risikan seminggu berkaitan aktiviti penyelewengan diesel di stor penyimpanan dan stesen minyak di daerah ini.

Sebelum itu, katanya pasukan operasi mengesan dua lori dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak ketika risikan dibuat.

“Seorang lelaki dikesan sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang diubah suai di bahagian belakang sebuah lori sebelum pegawai penguatkuasa yang berada di lokasi segera menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan sebanyak 727 liter diesel yang dimasukkan dalam tangki penyimpanan.

“Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barang kawalan iaitu diesel.

“Semua barang rampasan termasuk dua tangki dan dua lori berkapasiti satu tan yang dianggarkan bernilai RM417,563.71 dirampas untuk siasat lanjut,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit turut ditahan dan tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barangan kawalan atau bersubsidi boleh disalurkan dengan menghubungi KPDNHEP melalui Whatsaap 019-2794317, portal aduan eaduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|