Sabah FC ‘pakar’ bola mati

Sabah FC ‘pakar’ bola mati

Kota Kinabalu: Sabah FC memiliki kelebihan tersendiri dalam memanfaatkan situasi bola mati atau ‘set piece’ untuk diterjemahkan kepada jaringan.

Itu yang berjaya dilakukan skuad Sang Badak ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Sabah pada mulanya ketinggalan 1-0 selepas dibolosi pada minit tambahan separuh masa pertama hinggalah minit ke-71 bangkit menyamakan kedudukan.

Ia kemudian disusuli satu lagi gol berselang tujuh minit kemudian menjadikan keputusan bertukar 2-1 hingga ke wisel penamat.

Menariknya, kedua-dua gol Sabah dihadiahkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menerusi tandukannya, masing-masing dari bola hasil sepakan sudut dan tendangan percuma yang dilakukan Baddrol Bakhtiar.

Kedua-dua gol Sabah dihadiahkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menerusi tandukannya. Pix Ihsan Sabah FC

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui situasi bola mati itu memang menjadi keutamaan pasukannya untuk mencipta gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Jadi kita harus mengekalkan apa yang kita lakukan dan yang penting pemain menunjukkan satu semangat juang tinggi terutama dalam separuh masa kedua untuk cuba kembali mendapatkan gol pertama dan seterusnya berjaya mendapat gol kemenangan,” katanya mengulas aksi Liga Super malam tadi.

Katanya, pasukannya berada dalam tekanan apabila ketinggalan 1-0 di tangan TFC selain gagal melakukan penyudah dengan baik meskipun berpeluang menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Sementara itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain, mengakui situasi pasukannya bertukar sejurus Sabah mendapat peluang bola mati yang berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

“Secara keseluruhannya, persembahan TFC agak baik, kita dapat mengawal situasi dan mendapat rentak permainan selepas 20 minit bermain.

“Cuma kelekaan sedikit menyebabkan kita dibolosi dua gol dan kita tahu ‘set piece’ adalah kelebihan Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|