Persidangan DUN Sabah: Usaha ambil alih SESB diteruskan – Bung Moktar

Persidangan DUN Sabah: Usaha ambil alih SESB diteruskan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Usaha untuk mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) masih diteruskan supaya syarikat membekal tenaga elektrik itu dapat ditranformasi sebagai syarikat yang mampu menjana keuntungannya sendiri.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika ini perbincangan dengan kerajaan Persekutuan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih dilakukan.

Bung Moktar ketika tiba untuk persidangan DUN Sabah

“Sekarang kita berbincang dengan kerajaan Persekutuan dan juga CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Tenaga Nasional untuk meneruskan usaha mengambil alih SESB Sabah.

“Kita akan transformasikan kepada satu badan yang boleh menguntungkan sebab sekarang ini sejak dulu SESB sehingga kini sudah 20 tahun tidak boleh untung, dia rugi RM200 juta, RM300 juta. Saya pun hairan tidak pernah ada satu syarikat yang berniaga elektrik di dunia, tetapi di Sabah rugi.

“Ini masa yang sesuai untuk kita perbetulkan cuma masih ada perkara-perkara teknikal yang perlu kita laksanakan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berkaitan perkembangan usaha kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) berhubung perjanjian untuk menyerahkan syarikat tenaga elektrik itu kepada kerajaan negeri.

Bung Moktar berkata, usaha menggunakan sumber lain selain diesel juga sedang dilihat supaya SESB mempelbagaikan sumber dalam menjana bekalan elektrik di negeri ini.

“SESB ini dia berniaga masih banyak 60 peratus menggunakan diesel, di dunia lain tidak ada sudah menggunakan diesel tetapi menggunakan sumber asli yang lain yang sedia ada. Kenapa tidak kita gunakan sumber asli ini untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Jadi sekarang saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri dan Kabinet kalau boleh Sabah kena berani ke depan untuk meneroka apa yang ada di negeri ini untuk kita perkayakan Sabah dan persenangkan rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|