Sabah FC juara Borneo Derby

Sabah FC juara Borneo Derby

Kota Kinabalu: Sabah FC menepati sasaran untuk mengutip tiga lagi mata penuh di gelanggang lawan selepas berjaya menundukkan Sarawak United FC dalam pertemuan Borneo Derby menerusi aksi Liga Super di Kuching, malam tadi.

Dengan kejayaan 1-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-81 itu, skuad Sang Badak kini berada di tangga kedua liga selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul sembilan mata menerusi tiga kemenangan berturut-turut.

Sarawak United FC yang baru menyertai Liga Super pada musim ini bagaimanapun masih berada di kedudukan ke-11 berikutan hanya mengutip satu mata menerusi empat perlawanan setakat ini.

Ketika mengulas perlawanan malam tadi, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkannya sebagai aksi yang sukar bagi anak buahnya memandangkan Sarawak bermain dengan baik.

“Ia bukan kemenangan yang mudah dan kita memang sudah menjangkakan situasi sukar ketika menentang Sarawak akan berlaku.

“Hanya kerja keras dan komitmen pemain yang akhirnya membolehkan kita melakar kemenangan ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi perasaannya mengenai Borneo Derby yang disifatkannya sangat istimewa kepadanya kerana pernah menjadi pemain kedua-dua pasukan walaupun masing-masing bersaing untuk merebut kemenangan.

Jelasnya, walaupun kedua-dua pasukan sentiasa bersaing, namun penyokong masing-masing tetap memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan menerusi semangat Borneo Derby.

“Saya pernah bermain bersama Sarawak dan saya juga pernah bermain bersama Sabah. Walaupun kedua-duanya bersaing tetapi penyokong Sarawak tetap menyokong Sabah dan penyokong Sabah juga menyokong Sarawak.

“Itulah semangat Borneo Derby yang sangat penting, menjadikan Borneo Derby sangat istimewa kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sarawak United, B Satianathan menyifatkan perlawanan pada separuh masa pertama malam tadi dikuasai pasukan pelawat sebelum anak buahnya bermain lebih agresif pada separuh masa kedua.

Katanya, anak buahnya berjaya mencipta banyak peluang, namun nasib tidak menyebelahi pasukannya apabila Sabah FC akhirnya mencipta gol kemenangan menerusi tendangan penalti pada minit ke-81.

“Namun, saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan pemain. Bukan senang, kerana ramai pemain tiada pengalaman bermain dalam Liga Super, mereka datang dari Liga Perdana tetapi saya bangga dengan pencapaian mereka,” katanya.

Aksi pertemuan Sarawak dan Sabah sering mendapat perhatian berikutan kedua-duanya adalah pasukan berjiran digelar Borneo Derby yang bersaing antara satu sama lain dalam arena bola sepak negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|