Sabah FC jelaskan situasi Rizal

Sabah FC jelaskan situasi Rizal

Kota Kinabalu: Pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang dilapor menolak pelawaan menyertai skuad kebangsaan hingga menyebabkannya berdepan hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan mahu pulang ke kampungnya di Kedah atas urusan peribadi keluarga.

Menerusi satu kenyataan hari ini, pengurusan Sabah FC berkata perkara itu dimaklumkan Rizal sebelum ini, namun beliau dinasihati supaya memberi penjelasan terperinci kepada badan induk bola sepak negara itu mengenai ketidakhadirannya dalam pasukan kebangsaan.

Pengurusan Sabah FC menegaskan, pihaknya sentiasa menyokong dan bekerjasama dalam soal pemilihan pemain kebangsaan yang membabitkan pemainnya.

Kenyataan itu turut menyebut, Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir akan berkomunikasi dengan Rizal untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai situasi dihadapinya.

“Ini kerana kami tidak membenarkan pemain kami menolak panggilan pasukan kebangsaan.

“Mewakili Harimau Malaya adalah satu pengiktirafan tertinggi yang mana seseorang pemain itu harus berasa bangga apabila dipilih menyertai pasukan kebangsaan,” kata kenyataan itu.

Semalam, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, memberi amaran yang Rizal berdepan hukuman berat jika tidak mempunyai alasan kukuh selepas menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh mengenakan denda kira-kira RM25,000 atau menggantungnya daripada bermain dalam liga.

Katanya, Rizal mempunyai tempoh sehingga 21 Mac ini untuk menghadirkan diri dalam pasukan kebangsaan sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadapnya.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dalam kenyataan semalam memaklumkan Rizal menolak pelawaan menyertai latihan pasukannya.

Rizal dipanggil bagi menggantikan seorang pemain, Syahmi Safari yang meminta pengecualian kerana isterinya baru melahirkan bayi kembar tiga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|