Anak jati Pensiangan wakil negara sepak takraw wanita Sukan SEA Vietnam

Anak jati Pensiangan wakil negara sepak takraw wanita Sukan SEA Vietnam

Kota Kinabalu: Anak jati Pensiangan, Nadilatul Rosmahani Saidi akan mewakili negara dalam acara berpasukan sepak takraw wanita pada Sukan SEA Vietnam yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, Mei depan.

Difahamkan, beliau adalah antara empat atlet wanita dari Sabah termasuk Ramzah Anam, iaitu seorang lagi wakil pedalaman yang berasal dari Kampung Biah, Sook terpilih menggalas cabaran negara ke sukan peringkat ASEAN itu.

Nadilatul Rosmahani, 19, mula menunjukkan minat dalam sukan sepak takraw ketika berusia 10 tahun hasil pendedahan datuknya sendiri, Awang Aginduk yang juga penggerak arena sukan sepak takraw di Sabah.

Sebagai sokongan dan tanda penghargaan atas pemilihannya.ke Sukan SEA Vietnam, Nadilatul Rosmahani menerima sumbangan kewangan daripada Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin di pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah, di sini, semalam.

Sumbangan itu akan digunakan sepanjang tempoh sukan itu berlangsung yang dijadualkan bermula pada 12 hingga 23 Mei depan.

Ellron berharap, Nadilatul Rosmahani dan pasukannya akan memberikan prestasi yang terbaik ketika temasya itu nanti dan membawa khabar gembira buat rakyat Sabah.

“Saya mengharapkan agar adik Nadilatul dan pasukan Sepak Takraw Wanita Malaysia akan mengharumkan nama Malaysia dan Sabah khususnya. Kami rakyat Sabah mendoakan yang terbaik untuk anda semua,” katanya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|