Sabah FC akan bentuk pasukan terbaik tahun depan – Ong Kim Swee

Sabah FC akan bentuk pasukan terbaik tahun depan – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Semua pemain sedia ada akan dinilai semula sebelum senarai akhir diputuskan bagi menghadapi Liga Malaysia dan kejohanan Piala AFC, tahun hadapan.

Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, penilaian berkenaan adalah bagi memutuskan sama ada mengekalkan atau menggugurkan mana-mana pemain.

Katanya, ia juga sebagai langkah menambahbaik pemain bagi memastikan Sabah FC tampil dengan barisan terbaik musim depan.

“Saya harap sesiapa yang dikekalkan dapat terus bersama, kita tahu bukan mudah untuk mendapatkan pemain kerana banyak pasukan juga akan membuat penambahbaikan untuk pasukan masing-masing.

“Pencapaian tahun ini amat baik, walaupun baru setahun bersama-sama, para pemain sudah berusaha dengan begitu baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kim Swee berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan daripada Presiden, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firdaus Akhbar Khan termasuk pengurus pasukan, Marzuki Nasir yang selalu bersama-sama pasukan.

“Ini menjadikan kita layak walaupun dengan slot ketiga tetapi saya percaya walaupun lambat itu satu pencapaian yang cukup positif.

“Persiapan awal perlu dijalankan walaupun kejohanan Piala AFC hanya akan bermula pada pertengahan tahun depan.

“Oleh itu, di awal musim nanti, kita perlu mengenalpasti kekuatan serta kelemahan dan ini memberi kelebihan kepada Sabah FC,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting, setiap pemain Sabah FC perlu sentiasa cergas kerana pasukan akan melalui jadual amat padat membabitkan kejohanan Liga, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|