Hajiji ketuai rombongan kerajaan negeri, GRS bertemu PM10 di Putrajaya

Hajiji ketuai rombongan kerajaan negeri, GRS bertemu PM10 di Putrajaya

Putrajaya: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pejabatnya, di sini, petang ini.

Pada pertemuan itu, Hajiji mengulangi sokongan dan kerjasama penuh kerajaan negeri dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan.

Hajiji (kanan) berbincang bersama Anwar pada pertemuan di Putrajaya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berharap perjumpaan itu yang mana beliau dan Anwar berbincang mengenai kepentingan negeri akan menjadi permulaan yang baik bagi merapatkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Katanya, hubungan yang rapat di antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Anwar penting untuk manfaat Sabah dan kesejahteraan rakyatnya.

Rombongan Hajiji disertai dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dan Ahli Parlimen DAP bagi Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

Hajiji (dua kanan) bersama rombongan kerajaan negeri dan GRS bertemu Anwar di Putrajaya.

Hadir sama pada perjumpaan itu ialah Ahli Parlimen GRS, Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Lo Su Fui (Tawau).

Turut bersama rombongan Hajiji ialah Ahli Parlimen Bebas, Riduan Rubin (Tenom) dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|