Sabah cadang pinda Enakmen Hutan

Sabah cadang pinda Enakmen Hutan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri bergerak seiring dengan pindaan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang diluluskan Dewan Rakyat, bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan pindaan itu mencakupi aspek yang lebih mencabar dalam sektor perhutanan masa kini, termasuk untuk memenuhi agenda antarabangsa bagi mengatasi isu perubahan iklim dan kaedah mitigasi melalui perdagangan karbon serta pemuliharaan biodiversiti.

Hajiji menyampaikan Sijil Kepatuhan projek Pengurusan Hutan Mapan (SFM) 2021 kepada Benta Wawasan Sdn Bhd pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2022 di SICC, Kota Kinabalu.

“Kita juga mahu memperkemas ruang kerjasama di antara pemegang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dengan kerajaan negeri selaras dengan visi pengurusan hutan mampan.

“Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri juga menjalankan usaha yang serupa dengan meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.

Hajiji menerima cenderamata daripada Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2022 di SICC, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2022 (MAPT2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Pindaan terhadap APN 1984 yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu antara lain bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia dengan menggariskan syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung.

Hajiji berkata, pindaan terhadap akta itu dilihat banyak mencontohi apa yang dilakukan kerajaan negeri di Sabah memandangkan negeri ini lebih awal mengenakan syarat ketat berkaitan pengekalan kawasan hutan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri melihat pindaan dalam akta itu yang berkaitan dengan kenaikan kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kegiatan yang merosakkan alam sekitar juga perlu dilaksanakan dalam enakmen negeri.

“Berdasarkan kepada perkembangan ini, saya menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Peguam Besar Negeri dan Pejabat Setiausaha Hasil Bumi untuk mengkaji semula peruntukan dalam Enakmen Hutan 1968 dan mengasimilasikan pindaan APN mengikut kepentingan negeri,” katanya.

Katanya, usaha juga perlu terus ditambah baik bagi memantapkan pengurusan kawasan hutan simpan dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan serta 30 peratus Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA).

Dalam pada itu, Hajiji berkata Jabatan Perhutanan Sabah sudah mengorak langkah awal meletakkan sasaran 30 peratus kawasan TPA di negeri ini mendahului negeri dan wilayah lain di Malaysia.

“Atas usaha Ketua Konservator Hutan dan kerja berpasukan yang diamalkan warga Jabatan Perhutanan, kita rakyat Sabah berbangga kerana separuh daripada keluasan negeri ini masih kekal dilitupi hutan.

“Kita sebenarnya adalah antara penyumbang utama dalam mitigasi perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

“Beberapa langkah proaktif telah diambil untuk mengelakkan hutan kita daripada terancam pada masa hadapan melalui pemantapan aktiviti penguatkuasaan dan pengurusan hutan secara mampan,” katanya.

Katanya, antara langkah diambil ialah usaha sama kerajaan negeri dengan pemegang SFMLA melalui konsep rakan pintar.

Melalui usaha sama itu, katanya kira-kira 1.65 juta hektar kawasan Hutan Simpan Komersial Kelas II di negeri ini dilesenkan kepada pemegang SFMLA untuk diurus melalui konsep Pengurusan Hutan Mampan.

Hajiji berkata, beliau sudah melawat dua kawasan SFMLA iaitu Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Sapulut Forest Development Sdn Bhd pada Julai lalu untuk melihat sendiri kemajuan pembangunan ladang hutan di kedua-dua kawasan.

“Saya mendapati kedua-dua kawasan ini menunjukkan kemajuan positif dalam membangunkan ladang hutan di kawasan lesen mereka. Pencapaian ini perlu dijadikan contoh oleh semua pemegang lesen SFMLA yang diberikan amanah untuk membangunkan ladang hutan di Sabah.

“Semoga momentum pembangunan ladang hutan ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada hadapan bagi mendokong hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan sektor perladangan hutan secara progresif,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri turut berharap warga kerja Jabatan Perhutanan Sabah mengaplikasikan transformasi digital dalam perkhidmatan harian agar sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam terutama bagi sektor perhutanan dapat ditambah baik secara berterusan untuk memberi kepuasan kepada pelanggan dan rakyat Sabah khususnya.

Sempena MAPT 2022, seramai 63 kakitangan Jabatan Perhutanan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 32 pemegang lesen SFMLA serta 13 Projek Pengurusan Hutan Mapan (SFM) dianugerahkan Sijil Kepatuhan bagi 2021.

Turut menerima anugerah ialah 13 penerima Anugerah Rakan Konservasi Jabatan Perhutanan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan
komitmen dalam melaksanakan agenda konservasi di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|