Bomba selamatkan lelaki cuba terjun dari pencawang

Bomba selamatkan lelaki cuba terjun dari pencawang

Labuan: Pujukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki daripada terjun dari sebuah pencawang Telekom Malaysia, Tanah Perkuburan Rancha-Rancha, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, lelaki yang dipercayai kurang siuman itu dilihat memanjat pencawang berkenaan hingga ke puncak.

Lelaki yang dipercayai kurang siuman berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Orang awam yang menyedari kejadian itu terus menghubungi JBPM bagi mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Wilayah Persekutuan Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang.

Lelaki memanjat pencawang Telekom Malaysia disedari orang awam sebelum menghubungi pihak bomba.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, mangsa sedang memanjat pencawang berkenaan menuju ke puncak.

“Pasukan bomba terus bertindak mendekati mangsa sebelum berjaya memujuknya untuk turun ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Balai Polis Rancha-Rancha untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.31 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|