MIC perlu semak semula jawatan Peer Mohamad Kadir – UPKO

MIC perlu semak semula jawatan Peer Mohamad Kadir – UPKO

Kota Kinabalu: MIC perlu menyemak semula jawatan yang diberikan kepada Peer Mohamad Kadir sebagai Pengerusi MIC Sabah.

Selain itu, jawatan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang diberikan oleh kerajaan Sabah juga harus dibatalkan dengan serta merta.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengenai status Peer pada Ahad lalu amat mengejutkan.

“Apa yang dikatakan Datuk Seri Saravanan berhubung MyKad tulen yang dimiliki Peer Mohamad Kadir sebagai bukan suatu isu menunjukkan beliau seorang pemimpin dan anggota jemaah menteri yang tidak bertanggungjawab.

“Persoalan saya kepada Saravanan, adakah MIC dan Barisan Nasional (BN) menghalalkan pengurniaan MyKad kepada pendatang asing dari India secara rasuah dan salah guna kuasa seperti Peer Mohamad Kadir?

“Adakah MIC sanggup menerima seorang yang pernah mengakui menerima MyKad menerusi cara penipuan sebelum ini sebagai pemimpin mereka,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut berkata, pihak berkaitan perlu tampil memberi penjelasan mengenai status sebenar Peer Mohamad Kadir.

“Saya berpendapat bahawa MIC perlu menyemak semula jawatan Pengerusi MIC yang diberikan kepada beliau dan pada masa yang sama jawatan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang diberikan oleh kerajaan Sabah harus dibatalkan dengan serta merta.

“UPKO mahu rakyat Sabah sewajarnya menolak parti-parti yang menerima dan melantik penerima MyKad secara rasuah dan salah guna kuasa. Rakyat Sabah tidak wajar menggadaikan maruah dan masa depan dengan mengundi parti-parti yang menerima pemilik MyKad secara tidak sah seperti Peer Mohamad Kadir.

“Cukuplah kita ditipu dan diperdayakan oleh pemimpin-pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|