Sabah berpotensi eksport hasil ternakan ke Kalimantan

Sabah berpotensi eksport hasil ternakan ke Kalimantan

Kota Kinabalu: Sabah berpotensi mengeksport hasil ternakan ke Kalimantan, khususnya dengan perpindahan ibu kota Indonesia yang dinamakan Nusantara di wilayah yang berjiran dengan Sabah dan Sarawak itu tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata sehubungan itu semua pihak berkepentingan dalam industri ternakan di negeri ini perlu melihat potensi itu sebagai peluang untuk mengembangkan lagi sektor penternakan di Sabah.

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

Katanya, ketika ini Sabah menjadi pengeksport beberapa hasil ternakan ke negara seperti Brunei, China dan Hong Kong, selain ke negeri jiran, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung.

“Potensi eksport ke pasaran Kalimantan pada masa hadapan juga terbuka luas berikutan pengumuman yang dibuat oleh pihak Indonesia bahawa ibu kotanya, Nusantara akan dipindahkan ke Kalimantan Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Exim DAVETSA 2.0, sebuah modul daripada platform Data Veterinar Sabah (DAVETSA) di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) yang dinaik taraf untuk permohonan lesen import dan eksport, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata berdasarkan rekod 2021, Sabah mengeksport sebanyak 27 juta biji telur ayam ke Wilayah Persekutuan Labuan dan Hong Kong.

Katanya, sepanjang tahun lalu, Sabah turut mengeksport 2,142 ekor lembu hidup dan 177 ekor kerbau hidup ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Brunei Darussalam dan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, katanya sebanyak 391 ekor kambing hidup dan 953,400 ekor anak ayam turut dieksport ke Labuan, Sarawak dan Brunei sepanjang tahun lalu.

“Sebanyak 606 ekor babi juga dieksport ke Labuan, manakala sebanyak 57 metrik tan sarang burung walit dieksport ke Hong Kong, China, Semenanjung dan Sarawak sepanjang tahun lalu.

“Selain itu, sebanyak 2,350,540 liter susu cair yang dihasilkan penternak tenusu di negeri itu dieksport ke Labuan, Sarawak dan Semenanjung pada tahun 2021,” katanya.

Jeffrey berkata semua pihak, sama ada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta perlu bekerjasama mengembleng usaha membangunkan sub-sektor ternakan bagi menjamin keselamatan makanan negeri.

Katanya, ia bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dengan bertambahnya populasi penduduk dan kekurangan sumber tempatan serta import akibat kos pengeluaran sangat tinggi yang berlaku di seluruh dunia.

Jelasnya, walaupun pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sejak 2020, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah sentiasa memastikan keselamatan makanan dan kecukupan pengeluaran makanan meliputi sub-sektor tanaman, penternakan dan perikanan di negeri ini terjamin.

“Melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), kecukupan makanan negeri perlu dipertingkatkan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik malah untuk eksport bagi menjamin sektor ini berdaya saing dan mampu mengurangkan bil import makanan berasaskan pertanian dan hasil pertanian negeri,” katanya.

Pada masa sama, katanya usaha turut diambil untuk memastikan Sabah bebas daripada penyakit haiwan ternakan menerusi beberapa inisiatif yang dikenal pasti dapat mengawal dan mengekang penularan penyakit haiwan di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|