Covid-19 Sabah: Lebih 71 peratus jangkitan sporadik, tertinggi pernah direkodkan di Sabah

Covid-19 Sabah: Lebih 71 peratus jangkitan sporadik, tertinggi pernah direkodkan di Sabah

Kota Kinabalu: Jangkitan sporadik atau kes Covid-19 yang tidak diketahui punca semakin tinggi dengan 71.18 peratus daripada 2,717 kes baharu yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori berkenaan di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia adalah peratusan kes sporadik atau yang dikesan melalui saringan bergejala tertinggi pernah direkodkan di negeri ini.

“Sebanyak 23 daripada 27 daerah juga memperlihat trend yang sama, yang mana kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah terbabit.

“Atas sebab inilah kita selalu menyeru rakyat agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Secara keseluruhan kes baharu di Sabah meningkat semula dengan agak banyak hari ini iaitu bertambah 481 kes kepada 2,717 kes berbanding 2,236 kes yang dilaporkan semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata 99 peratus atau 2,690 daripada 2,717 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti empat kes dalam Kategori 3, manakala 17 kes dalam Kategori 4 dan enam kes lagi dalam Kategori 5.

“Kota Kinabalu kembali mencatat kes empat angka iaitu 1,350 kes pada hari ini iaitu 49.68 peratus atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah hari ini.

“Bagaimanapun sebahagian besar daripada jumlah kes di Kota Kinabalu adalah kes tertunggak (backlogs) yang baru didaftarkan. Sebanyak 556 kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu pada hari ini adalah kes tertunggak melebihi sembilan hari.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah hampir 84 peratus kes baharu di Kota Kinabalu adalah kes jangkitan sporadik dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima daerah mencatat kes tiga angka iaitu Penampang dengan 184 kes, diikuti Tuaran (131 kes), Papar (120 kes), Keningau (113 kes) dan Beaufort (108 kes).

Katanya, sebanyak 18 daerah lagi mencatat kes dua angka, manakala tiga daerah iaitu Semporna, Kalabakan dan Telupid masing-masing mencatat kes satu angka.

Mengenai PICKids, katanya setakat hari ini Sabah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 53,371 daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.

“Sebanyak 333 kes hari ini pula membabitkan kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang belum divaksin, dengan 172 daripadanya adalah kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin iaitu berumur bawah lima tahun,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 3 Mac 2022
Sabah 2,717 (2,236)

Kota Kinabalu 1,350 (781)
Penampang 184 (138)
Tuaran 131 (170)
Papar 120 (110)
Keningau 113 (108)
Beaufort 108 (97)
Tawau 84 (103)
Tenom 79 (54)
Kota Belud 79 (113)
Sandakan 64 (75)
Putatan 62 (58)
Lahad Datu 56 (31)
Kota Marudu 44 (64)
Sipitang 39 (46)
Ranau 36 (46)
Kudat 28 (21)
Tambunan 19 (18)
Beluran 19 (25)
Kuala Penyu 16 (49)
Kinabatangan 16 (17)
Pitas 16 (24)
Nabawan 14 (25)
Tongod 14 (17)
Kalabakan 10 (8)
Semporna 7 (8)
Kunak 7 (9)
Telupid 2 (21)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 2 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|