Sabah beri tumpuan signifikan terhadap IR4.0

Sabah beri tumpuan signifikan terhadap IR4.0

Kota Kinabalu: Sejumlah RM3.1 bilion diperuntukkan dalam pelan nasional Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi meningkatkan liputan internet dan telekomunikasi, khususnya di kawasan pedalaman.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selari dengan usaha Sabah untuk mengadaptasi terhadap pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Dr Joachim (dua kiri) mewakili Ketua Menteri pada program ‘Facility Management Asia Conference (FMAC) Ke-3 2022’ di Kota Kinabalu.

Menurut beliau, pengadaptasian IR 4.0 akan memberi impak kepada cara hidup, cara kerja dan komunikasi masyarakat.

“Daripada sekolah ke tempat kerja, kita boleh lihat bagaimana pendigitalan dan automasi telah mengambil alih.

“Teknologi terus maju, memacu pembangunan dalam setiap bidang termasuk pengurusan kemudahan.

“Kita juga sedar bahawa era IR4.0 dan pasca-pandemik menuntut kaedah perancangan dan pendekatan baharu dalam mengurus aset untuk manfaat pengguna.

“Organisasi Piawaian Antarabangsa menuntut penyampaian pengurusan kemudahan yang berkesan dan cekap yang menyokong objektif organisasi, untuk memenuhi keperluan pihak yang berkepentingan secara konsisten dan keperluan terpakai serta bertujuan untuk mampan dalam persekitaran yang kompetitif di peringkat global.

“Melangkah ke hadapan, sudah tiba masa untuk kita mencari pendekatan baharu dalam melakukan sesuatu, termasuk pengurusan aset,” katanya dalam ucapan sempena perasmian ‘Facility Management Asia Conference (FMAC) Ke-3 2022’ di Le Meridien Hotel, hari ini.

Beliau diwakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pandemik Covid-19 banyak mencabar dalam mengadaptasi kepada perubahan demi kelangsungan dan memastikan kerelevanan.

Justeru, katanya, pengurusan fasiliti memerlukan aset strategik dan tidak strategik diurus dengan baik, termasuk memenuhi jenis keperluan baharu untuk menyokong tempat kerja yang berfungsi dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan tinggi agar FMAC 2022 anjuran bersama Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertemakan ‘IR4.0 dalam Norma Baharu: Masa Depan Pengurusan Fasiliti’ akan menangani isu pengurusan fasiliti, cabaran dan strategi memacu disiplin dan daya tahan pasca pandemik.

“Saya percaya FMAC 2022 akan memberi manfaat kepada kita semua dalam konteks ilmu baharu dikongsikan terhadap pengurusan aset dan fasiliti yang cekap, sebagai sebahagian usaha untuk mencapai matlamat pembangunan yang mampan untuk organisasi kita dan negara ini.

“Saya berharap juga bahawa FMAC 2022 hari ini akan memberi pencerahan kepada para hadirin, dan dengan adanya penceramah terkemuka dari seluruh dunia, saya yakin anda akan mendapay manfaat menerusi pembentangan, forum, sesi akademik dan pameran,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|