Lelaki ditahan seleweng minyak diesel

Lelaki ditahan seleweng minyak diesel

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki selepas disyaki terbabit menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel subsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak, di Jalan Kuhara, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 2 petang itu dijalankan hasil pemantauan dan pemeriksaan harian yang dibuat pasukan penguatkuasa KPDN cawangan Tawau.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Tawau, Sam Aminudin berkata pihaknya turut merampas dua buah kereta pacuan empat roda yang digunakan oleh suspek.

Katanya, seorang suspek berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan KPDN di lokasi kejadian.

“Penahanan suspek dan pacuan empat roda berkenaan membawa kepada penemuan tangki tambahan berkapasiti 400 liter bagi setiap tangki yang diubah suai.

“Ketika ditahan, suspek sudah mengisi minyak diesel ke dalam tangki berkenaan dianggarkan sebanyak 356 liter,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, turut ditemukan dua nozel pam minyak yang digunakan untuk tujuan memindahkan diesel dari stesen minyak ke tangki berkenaan.

“Nilai sitaan termasuk minyak diesel dianggarkan berjumlah RM81,365.40 dan suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 18 (1), PPKB (pindaan) 2021 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Sam berkata, KPDN Tawau memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya minyak petrol dan diesel.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan supaya segera melaporkan kepada pihak kementerian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|