Graduan OKU mental buktikan tiada yang mustahil

Graduan OKU mental buktikan tiada yang mustahil

Kota Kinabalu: Walaupun banyak kali terasa ingin berputus asa, namun dedikasi terhadap pengajian akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah Sarjana Psikologi dengan Kepujian (Psikologi Kanak-kanak & Keluarga).

Graduan orang kurang upaya (OKU) mental, Nurul Yusra Afiqah Anuar telah menerima ijazah pada Sidang 3 Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 dengan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.53.

Menceritakan semula pengalaman bergelar mahasiswa, beliau menzahirkan rasa bangga buat dirinya kerana mampu menempuh cabaran sehingga berjaya mencapai garisan penamat.

“Saya berada jauh daripada ahli keluarga dan orang yang banyak memberi sokongan kepada saya semasa di UMS ialah pensyarah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang sering membawa saya keluar hingga ke Singapura dan Indonesia untuk menghiburkan saya.

“Memegang status OKU mental, cabaran yang saya sering terima adalah stigma masyarakat yang mengatakan bahawa saya tidak kelihatan seperti seorang OKU.

“Sekarang ini saya sudah bekerja dalam bidang yang saya sendiri merawat orang OKU mental. Semua pesakit serta pelatih di bawah pemantauan saya juga adalah OKU mental dan saya dapat faham apa yang mereka rasakan,” katanya.

Jelasnya, beliau ingin memperlihatkan kepada pesakitnya bahawa dia telah berjaya mengatasi masalahnya, kerana majoriti daripada mereka adalah individu yang tidak habis belajar disebabkan masalah sakit mental dan dia bertekad ingin memulihkan semangat mereka semula.

Menurut beliau, kebanyakan sakit mental yang dihidapi adalah disebabkan trauma, kebimbangan dan tekanan.

Katanya, beliau telah mendapat status OKU sejak tahun 2017 dan keadaan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan dia melakukan percubaan bunuh diri.

“Sepanjang tiga tahun bergelar pelajar prasiswazah, memang banyak waktu saya berasa putus asa, namun setiap kali itu juga saya akan minta bantuan di saluran yang betul.

“Setakat ini, saya tidak pernah menganggap tugasan pengajian menjadikan tekanan saya lebih teruk kerana jurusan yang diambil sangat membantu saya.

“Malah, ia menjadikan saya lebih faham situasi saya dan membantu mengaplikasikannya dalam pekerjaan,” katanya lagi.

Ketika ini beliau sedang bekerja di Pusat Rehabilitasi OKU Mental, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Case Manager, dan akan berpindah tempat kerja apabila menerima tawaran pekerjaan di sebuah syarikat yang melibatkan penyelidikan berkaitan tanda-tanda awal penyakit mental, personaliti dan juga cara mencegahnya sebelum terlambat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|