Graduan manfaatkan Pusat Sukan UMS, hingga bergelar atlet para SUKMA Sabah

Graduan manfaatkan Pusat Sukan UMS, hingga bergelar atlet para SUKMA Sabah

Kota Kinabalu: Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) banyak memberi peluang kepada graduan Orang Kurang Upaya (OKU), Hidayat Abdul Latiff, 31, mengembangkan bakatnya dalam bidang sukan.

Pelajar Pusat Luar UMS itu mempunyai masalah fizikal tempang kaki kiri dan telah mula menyertai sukan ping pong di UMS pada tahun 2017.

Beliau berkata, Penasihat Kelab Ping Pong UMS telah memperkenalkannya dengan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) Sabah yang menguruskan pasukan Para SUKMA dan seterusnya memulakan kariernya sebagai atlet OKU dalam sukan ping pong.

“Pusat Sukan UMS menyediakan fasiliti yang lengkap untuk memberi peluang kepada kami dalam membuat latihan sukan ping pong.

“Masyarakat luar banyak tidak percaya kemampuan golongan OKU dalam menyertai sukan apalagi mewakili negeri atau negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Namun, saya bertekad untuk terus bersemangat dan membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan seperti kami dapat meraih pingat dalam sukan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-24 yang berlangsung di Dewan Canselor, baru-baru ini.

Hidayat telah berjaya menamatkan pengajiannya dan telah memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (Ekonomi Sumber Manusia).

Bapa kepada seorang anak ini amat mengutamakan pelajaran walaupun masa belajar pada hujung minggu perlu dibahagikan dengan dengan masa latihan.

Katanya, pengurusan masa amat penting dalam mencapai sesuatu impian dan jurulatihnya juga memberi nasihat untuk mengutamakan pelajaran terlebih dahulu.

“Sokongan dan semangat dari isteri juga menjadi dorongan untuk saya terus aktif dalam sukan selepas ini,” katanya lagi.

Menceritakan pengalamannya, Hidayat berkata, beliau pernah meraih pingat perak kategori beregu dan pingat perak kategori individu pada tahun 2018.

Tidak terhenti di situ, beliau turut meraih pingat emas kategori berkumpulan dan pingat perak kategori beregu pada tahun ini apabila mewakili Sabah ke Para SUKMA XX MSN.

Pada 2016, beliau merupakan pelajar sepenuh masa UMS sehingga 2018, sebelum mengambil keputusan untuk menukar mod pengajiannya kepada separuh masa setelah mendapat pekerjaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sebagai Penolong Pegawai Tadbir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|