Ahli Parlimen GRS ada keahlian terus secara individu

Ahli Parlimen GRS ada keahlian terus secara individu

Kota Kinabalu: Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikaitkan dengan isu larangan lompat parti menjadi ahli secara individu dalam gabungan parti politik itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali, menjelaskan perkara itu bagi mengulas kedudukan mereka selepas kepemimpinan BERSATU Sabah mengumumkan keluar parti, Sabtu lalu.

Katanya, perlembagaan GRS menyatakan keahlian yang diterima dalam gabungan itu bukan saja daripada parti atau persatuan, malah termasuk individu atau keahlian terus.

“Berhubung status kami sebagai Ahli Parlimen yang mewakili GRS berikutan ada spekulasi mengenai status GRS, saya fikir perlu juga mereka semak undang-undang tubuh GRS.

“Saya sendiri terlibat membuat draf perlembagaan GRS, jadi saya amat tahu. Ia bukan saja gabungan persatuan tetapi ia adalah parti yang bersifat individu dan persatuan parti politik.

“Bermaksud dari segi keahlian ada dua kategori, pertama individu dan kedua parti politik. Dalam GRS juga ada keahlian individu dan saya dari awal lagi menjadi ahli secara keahlian terus dan bertanding pada PRU lalu atas tiket GRS,” katanya pada sidang media, hari ini.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen GRS yang berdepan situasi sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, bagi dirinya beliau belum memutuskan untuk keluar daripada BERSATU kerana selepas pengumuman Ketua Menteri, Datuk Serui Hajiji Noor mengenai keluar BERSATU pada Sabtu lalu, tindakan perlu disusuli di peringkat bahagian untuk membuat perkara sama.

“Di pihak saya belum ada keputusan mohon keluar BERSATU tapi saya jelaskan bahawa saya bertanding PRU lalu sebagai ahli GRS dan menggunakan logo GRS,” katanya.

Ditanya sama ada ia bermaksud tiada isu lompat parti dalam situasi mereka, beliau bagaimanapun berkata perkara itu diserahkan kepada pihak perundangan untuk menentukannya.

Terdahulu, beliau menjelaskan tindakan diambil pemimpin BERSATU Sabah keluar daripada parti itu berkait rapat dengan keputusan GRS untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata GRS dan empat Ahli Parlimennya sedar mengenai undang-undang anti lompat parti yang berkuatkuasa sejak 5 Oktober lalu.

Katanya, mereka tahu mengenai kesan undang-undang itu sebelum menjadi calon PRU15 lagi.

“Mereka akan memaklumkan Speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan. Kita yakin mereka tidak akan terkesan dengan undang-undang anti lompat parti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|