Sabah antara negeri terbaru dilanda banjir

Sabah antara negeri terbaru dilanda banjir

Kota Kinabalu: Sabah menjadi antara negeri terbaru dilanda banjir menjadikan lapan negeri di seluruh negara dilanda banjir akibat hujan berterusan setakat ini.

Setakat ini, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sabah iaitu di Pitas menempatkan seramai 222 mangsa daripada 37 keluarga.

Dua lagi negeri yang baru dilanda banjir ialah Sarawak dan Selangor dengan masing-masing tiga dan dua PPS dibuka menempatkan 104 dan tujuh mangsa.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara keseluruhan tujuh PPS dibuka di tiga negeri itu setakat ini.

Beliau berkata, Mesyuarat Penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat akan terus melihat aspek penyelarasan yang dapat diperkemas bagi memastikan semua negeri yang terlibat tidak berhadapan masalah daripada sebarang aspek, sama ada logistik mahupun sumber manusia.

“Pengurusan banjir di daerah-daerah terlibat di ketiga-tiga negeri masih berada pada tahap 1 iaitu di bawah kawal selia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing.

“Namun, PKOB Pusat yang beroperasi 24 jam akan sentiasa memantau dan bersedia untuk sebarang pendekatan intervensi sekiranya diperlukan.

“Setakat ini, sebanyak tujuh Siri Amaran Hujan Berterusan telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semenjak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada 7 November lepas.

“Siri Amaran ke-7 masih lagi berkuat kuasa dan luruan monsun (monsoon surge) kedua yang bermula 17 Disember 2022 dijangka berterusan sehingga 26 Disember 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, menurut ramalan MET, bermula hari ini, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|