Kota Kinabalu: Sebanyak dua tan sampah yang dibawa ombak besar di kawasan pesisir laut Tanjung Lipat dibersihkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jurucakap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, sampah berkenaan berkenaan dibersihkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) dan Jabatan Landskap (JL) DBKK.

Katanya, kerja-kerja pembersihan itu melibatkan kekuatan 60 petugas bermula seawal jam 4 pagi tadi.
“Sebanyak dua tan sisa sampah yang dibawa ombak besar di kawasan Pantai Tanjung Lipat berjaya dibersihkan.
“Selain itu, Jabatan Kejuruteraan turut menghantar dua anggota Unit Elektrikal bagi membantu pembaikan lampu jalan di Fung Yih Ting selepas pokok-pokok dibersihkan,” katanya.

Menurutnya, tindakan pembersihan berkenaan perlu diambil berikutan Taman Awam Teluk Likas (TATL) dan Pantai Tanjung Lipat Kota Kinabalu adalah salah satu taman tumpuan orang awam di bandar raya Kota Kinabalu.
“Aspek kebersihan dan keselamatan di kawasan berkenaan adalah tanggungjawab kita bersama.

“DBKK juga menyeru kepada seluruh warga bandar raya Kota Kinabalu untuk sentiasa bekerjasama bagi menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pembuangan sampah yang betul demi Kesejahteraan bandar raya Kota Kinabalu yang tercinta,” katanya.
-Deasoka