Amaran cuaca buruk: Penduduk Sabah diminta peka perubahan cuaca, persekitaran

Amaran cuaca buruk: Penduduk Sabah diminta peka perubahan cuaca, persekitaran

Kota Kinabalu: Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan persekitaran selain mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan.

Pengarah Pejabat Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim berkata, ia susulan amaran hujan berterusan peringkat waspada di negeri ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Amaran aangin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh MET Malaysia

“Kepada orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko seperti berhampiran pantai atau laut, dinasihatkan untuk sentiasa peka dan berwaspada terhadap keadaan cuaca semasa yang sedang berlaku.

“Anda boleh menyemak amaran cuaca buruk, amaran angin kencang dan laut bergelora yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa oleh MetMalaysia.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline jabatan di 1-300-22-1638 pada bila-bila masa.

“Bagi penduduk di negeri Sabah, mereka juga boleh menghubungi Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah yang beroperasi 24 jam, di talian 088-413691,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian limpahan air laut yang berlaku petang semalam adalah akibat fenomena air pasang besar dan pada masa yang sama berlaku cuaca buruk di perairan pantai barat Sabah.

“Ia telah menyebabkan kejadian angin kencang dan seterusnya menghasilkan ombak besar melanda kawasan pantai di barat Sabah,” katanya.

MetMalaysia melalui laman sesawang jabatan itu sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sabah sehingga 26 Disember ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah di Pedalaman, iaitu Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort serta bahagian Pantai Barat.

Selain itu, turut terkesan ialah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang mahupun dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|