Rumah terbakar, seorang lelaki cedera

Rumah terbakar, seorang lelaki cedera

Tawau: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas terpaksa menyelamatkan diri dari rumahnya yang terbakar, dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit bagaimanapun hanya mengalami kecederaan luka di kaki dan melecur di bahagian bahu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.54 pagi.

Katanya, sepasukan 17 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan 111 meter persegi yang terbakar hampir 90 peratus di tingkat atas.

“Operasi pemadaman segera dijalankan pasuka operasi menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa terlibat yang mengalami kecederaan ringan iaitu luka bahagian kaki dan melecur bahagian bahu.

Katanya, mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.23 pagi dan pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|