53 peratus kawasan di Sabah dilindungi sepenuhnya

53 peratus kawasan di Sabah dilindungi sepenuhnya

Kota Kinabalu: Sebanyak 53 peratus daripada kawasan tanah Sabah merupakan hutan simpan kekal dan kawasan perlindungan, mengatasi Deklarasi Langkawi 1989 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah sesebuah negara di bawah hutan semula jadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Malaysia, khususnya Sabah, adalah rumah kepada kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem berkepentingan global, menjadikan konservasi sesuatu yang penting.

“Walaupun negara-negara dalam perundingan pada Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Sabah telah pun mulai melakarkan peta jalan pemuliharaannya.

“Kita mempunyai permulaan awal dalam merangka cadangan dan tindakan untuk pelaksanaan dengan strategi untuk mempromosi, melindungi dan mengurus sumber asli secara mampan selaras dengan hasil Sidang Kemuncak Bumi dan konvensyen dan perjanjian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Makan Malam International Conference in Agroforestry 2022 (ICAF 2022) Ke-4 di Hotel Promenade, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan.

Hajiji berkata, agroforestri boleh meningkatkan biodiversiti, kerana pokok dalam sistem agroforestri menyediakan habitat untuk pelbagai spesies, menyediakan “zon penampan” terhadap penebangan hutan dan bertindak sebagai “koridor hijau”, membenarkan spesies berhijrah merentasi landskap yang penting untuk kelangsungan hidup mereka.

“Agroforestri sebagai sistem guna tanah boleh menyumbang kepada pencapaian sekurang-kurangnya sembilan daripada 17 matlamat pembangunan mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah menjadi titik permulaan berkenaan keselamatan makanan di Malaysia.

Jelasnya, agroforestri memerangi kemiskinan dan kelaparan, kerana pendekatan itu mampu menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi dan kepelbagaian mata pencarian.

Ia bermaksud terdapat pelbagai cara untuk menampung kehidupan petani kecil yang hidup dalam kemiskinan.

“Jika dilaksanakan dengan betul, ia boleh membawa kepada pengurangan kebergantungan pada satu tanaman sementara meningkatkan kesuburan tanah, yang merupakan aspek penting dalam meningkatkan jaminan makanan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, Hajiji berkata, pelaksanaan agroforestri juga datang dengan cabaran.

“Perlu ada inisiatif pendidikan, penyelidikan dan pendidikan mengenai teknologi baharu yang mampu meningkatkan produktiviti secara mesra alam.

“Tingkatkan ilmu pengetahuan dan kerjasama di antara pihak berkepentingan utama dengan berkongsi pengetahuan yang dipelajari daripada projek dan amalan agroforestri serta tunjukkan bagaimana pendekatan ini bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap agar para peserta ICAF 2022 akan memanfaatkan sepenuhnya persidangan ini, bukan hanya untuk berkongsi dapatan penyelidikan, tetapi juga meningkatkan rangkaian penyelidikan tempatan dan antarabangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|