PRU15: Pengundi Cina dirayu beri undi kepada Kenny Chua

PRU15: Pengundi Cina dirayu beri undi kepada Kenny Chua

Penampang: Pengarah Operasi GRS Pusat Kepayan Jafery Jomion @ Jet Fei Lee merayu kepada pengundi Cina di Parlimen Penampang untuk membuat keputusan menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kenny Chua Teck Ho, Sabtu ini.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Kepayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, Kenny Chua adalah seorang calon yang pertama kali bertanding selepas kerajaan GRS-BN ditubuhkan dua tahun lalu.

“Walaupun hanya dua calon yang dipilih daripada STAR untuk bertanding namun ini tidak mematahkan semangat kepimpinan atasan dan akar umbi untuk meneruskan perjuangan demi kerana kestabilan politik negara.

“Semangat kekeluargaan dan timbang rasa sesama pemimpin yang lebih penting sebagai tunjang kekuatan dan bukannya berapa kerusi yang parti kami dapat untuk bertanding,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jafery berkata, beliau memohon pengundi supaya tidak lupa kepada sejarah bahawa STAR pernah meminta pemimpin parti yang berpecah untuk bergabung.

“Ada juga pemimpin kita meminta sedekah menjadi calon parti-parti dari parti gabungan seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan sebagainya untuk bertanding.

“Tetapi bezanya pemimpin parti-parti komponen dalam GRS tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk mendapat kebenaran atau mendapat watikah bertanding tetapi hanya perlu ketuk pintu parti GRS di Sabah termasuklah calon Bersatu dari Malaya juga akan datang ke Sabah untuk meminta watikah yang dikeluarkan sendiri oleh pemimpin atau GRS,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, biarlah pemimpin PH Sabah terus diperbodohkan oleh pemimpin dari parti Semenanjung tetapi bukannya pengundi di Parlimen Penampang.

“Jangan lagi pengundi-pengundi Penampang diperbodohkan oleh pemimpin untuk mengundi mereka kerana Ewon Dan Darell Leiking (calon PH dan Warisan) itu sendirilah orang yang pertama melompat dari parti mereka atau mengkhianati penyokong yang memenangkan mereka dulu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|