Labuan: Seorang lelaki dilaporkan cedera selepas rumah kediamannya di Kampung Sungai Bangat, di sini, musnah terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun dilaporkan melecur di bahagian belakang badannya manakala rumah jenis kayu miliknya musnah sepenuhnya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.13 pagi.
Katanya, sepasukan 23 orang anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dan BBP Layangan dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan operasi terus memulakan operasi pemadaman dan menyelamat mangsa.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh masa 40 minit selepas operasi pemadaman dijalankan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-Deasoka