Sabah catat 651 mangsa terjejas banjir, air pasang besar

Sabah catat 651 mangsa terjejas banjir, air pasang besar

Kota Kinabalu: Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah mangsa terjejas dengan fenomena air pasang besar dan banjir di negeri ini mencecah 651 orang yang terdiri daripada 160 Ketua Isi Rumah (KIR).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata, ia membabitkan penduduk daripada tiga buah daerah, iaitu Pitas, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

“Setakat ini, di Pitas, sebanyak 528 mangsa daripada 123 KIR telah direkodkan, manakala 78 mangsa daripada 23 KIR dilaporkan di Kota Belud.

“Sementara itu, di Kota Kinabalu mencatatkan seramai 45 mangsa daripada 14 KIR.

“Akibat fenomena air pasang besar yang melanda sekitar Kota Kinabalu, beberapa buah rumah telah roboh di Kampung Pondo, Pulau Gaya dan proses pendaftaran masih dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, terdapat lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi setakat ini bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.

“Terdapat enam PPS yang dibuka di Pitas, iaitu Dewan Kg. Mempakad (163 mangsa), Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (83 mangsa), dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (13 mangsa).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 mangsa) dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (157 mangsa) serta Dewan SMK Pinggan-Pinggan (33 mangsa).

“Manakala, di Kota Belud dan Kota Kinabalu masing-masing dengan satu PPS aktif, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (78 mangsa) dan Dewan Muhibbah Sembulan (45 mangsa),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|