Rumah Mesra SMJ dirasmikan hari ini

Rumah Mesra SMJ dirasmikan hari ini

Kuala Penyu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) hari ini melancarkan inisiatif Rumah Mesra SMJ dalam usaha mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan mereka mempunyai rumah mampu milik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelancaran inisiatif itu cukup bermakna kepada kerajaan GRS-BN memandangkan ia menyambut ulang tahun kedua pentadbirannya selepas membentuk kerajaan pada 29 September 2020.

Hajiji menyerahkan kunci rumah kepada Shahlan Wahab di Kampung Kepayan Skim.

Beliau memberi jaminan kerajaan GRS-BN akan terus menggandakan usaha untuk melindungi kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.

Katanya, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.

Hajiji bersama keluarga Shahlan Wahab di Kampung Kepayan Skim.

“Sebab itu selain memberi perhatian sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan juga menumpukan aspek sumber manusia dan kesejahteraan rakyat yang merangkumi usaha memastikan rakyat memiliki rumah,” katanya.

Katanya, Rumah Mesra SMJ yang diadaptasi daripada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah untuk membantu mereka yang berada di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba bagi pelancaran Rumah Mesra SMJ.

“Atas alasan itu, saya sering menekankan bahawa semua polisi dan program kerajaan yang dirancang mesti berorientasikan kesejahteraan rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Menurutnya, Rumah Mesra SMJ akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan geran khas kerajaan Persekutuan RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) negeri pada tahun ini.

Hajiji bersama keluarga Gaudi Bonti di hadapan Rumah Mesra SMJ di Kampung Bundu.

Katanya, setiap rumah dibina dengan kos RM70,000.

Selain berharap pembinaan Rumah Mesra SMJ disiapkan mengikut jadual, Hajiji turut meminta agar KPLB memastikan hanya penerima yang benar-benar layak mendapat rumah berkenaan.

Hajiji bersama menteri Kabinet dan orang ramai pada pelancaran Rumah Mesra SMJ di Kuala Penyu.

“Kita perlu memastikan keutamaan diberi kepada mereka yang belum memiliki rumah.

“Antara kriteria untuk Rumah Mesra SMJ ialah penerimanya mesti ada dalam senarai e-kasih, rumah rosak akibat bencana alam atau orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan akan memantau rumah yang diberikan untuk memastikan ia tidak disewakan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji percaya rakyat cukup bijak untuk menilai prestasi dan pencapaian kerajaan negeri GRS-BN selama dua tahun memerintah.

“Saya dan rakan-rakan komited untuk melakukan yang terbaik bagi membawa kemajuan dan kemakmuran yang sangat bermakna kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Sebelum pelancaran itu yang diadakan di Rumah Budaya Kuala Penyu, di sini, Hajiji turut melawat dan menyerahkan kunci di dua Rumah Mesra SMJ yang sudah siap iaitu di Kampung Kepayan Skim, Menumbok dan Kampung Bundu, di sini.

Pada majlis itu, Hajiji turut meluluskan peruntukan untuk membina Dewan Kebudayaan dan esplanade di sepanjang Sungai Sitompok, di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap KPLB, Norlija Danin selaku pengerusi penganjur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|