Kes gangguan seksual Ebit Lew: Saksi cadang pengadu buat laporan polis di Sabah

Kes gangguan seksual Ebit Lew: Saksi cadang pengadu buat laporan polis di Sabah

Tenom: Saksi pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37, mengakui ada mencadangkan kepada pengadu dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew untuk membuat laporan polis di Sabah.

Beliau mencadangkan wanita itu membuat laporan di balai polis yang paling terdekat di Tenom.

Dalam prosiding hari kedua pemeriksaan balas terhadap saksi, Mohd Fairuz bersetuju bahawa terdapat kos yang tinggi untuk wanita itu membuat laporan polis di Bukit Aman berbanding di Tenom.

“Ya saya setuju, tetapi kes berkenaan telah ditanggung oleh MRM (Multiracial Reverted Muslims).

“Bukan saja kes seperti ini bahkan kes-kes yang lain juga yang dikendalikan MRM,” katanya kepada peguam Ram Singh yang mewakili Ebit dalam perbicaraan itu.

Perbicaraan bagi sesi pagi berkaitan kes gangguan seksual yang dihadapi Ebit ditangguhkan tengah hari tadi dan disambung semula petang ini.

Perbicaraan pendakwah itu yang berlangsung selama empat hari dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri serta Nur Masrin Amalia.

Ebit pula diwakili barisan peguamnya iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Tertuduh berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|