Warga Pakistan terlepas hukuman penjara 12 tahun

Warga Pakistan terlepas hukuman penjara 12 tahun

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Pakistan menarik nafas lega selepas hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini, atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap pekerja perempuan bawah umur, diketepikan Mahkamah Rayuan, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Supang Lian dan Dato’ Hashim Hamzah yang sebulat suara membenarkan rayuan Ahmad Imtiaz, 28, yang diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Mahkamah Rayuan memutuskan terdapat merit dalam rayuan berkenaan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak iaitu perayu dan pendakwaan.

Mengikut Mahkamah itu, terdapat salah faham fakta dan undang-undang oleh Mahkamah Tinggi yang membawa ketidakadilan kepada perayu dalam kes berkenaan.

Secara khususnya, seorang pekerja budak lelaki tidak dipanggil untuk memberi keterangan walaupun pegawai penyiasat kes mengesahkan individu terbabit sebagai saksi material.

Mahkamah turut berpendapat keterangan pengadu tidak konsisten serta tidak boleh dipercayai, maka dengan itu Mahkamah berpendapat sabitan berkenaan tidak selamat dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan.

Pada 4 November 2019, Ahmad dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam perbicaraan berkenaan.

Ahmad didakwa melakukan kesalahan pada 20 Februari 2019 iaitu memeluk mangsa remaja perempuan yang berusia 14 tahun ketika itu, selain meraba payudara serta kemaluan mangsa.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Februari tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Ahmad sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Tertuduh kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum tiga hakim yang bersidang sebulat suara menerina rayuannya pada prosiding rayuan semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|