Ewon bakal terajui UPKO

Ewon bakal terajui UPKO

Penampang: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bakal diterajui Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick yang diumum sebagai presiden baharu parti itu.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada sidang media selepas mesyuarat khas majlis tertinggi parti itu, di sini, petang ini.

Madius sebelum itu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya itu pada pemilihan parti bulan depan.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas menilai tahap kesediaan pemimpin baharu yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menerajui UPKO.

“Dengan ini saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang ini.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan baru yang akan bakal diterajui oleh beliau (Ewon), akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat.

“Lebih-lebih lagi dalam menempuhi senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baru dan muda melalui pendaftaran automatik Undi18,” katanya.

Madius berkata, selepas ini beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kehormat UPKO dan akan terus membantu serta bekerjasama dengan kepimpinan UPKO yang baharu.

“Selaku bakal Presiden UPKO yang baharu dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau (Ewon) akan dapat menumpukan hal ehwal politik dan perjuangan UPKO di Sabah.

“Manakala, saya sebagai Ahli Parlimen akan membantu menumpukan perhatian terhadap perjuangan UPKO sebagai peneraju perjuangan rakyat di peringkat politik nasional,” katanya.

Terdahulu, UPKO mengadakan perjumpaan khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO yang sebulat suara menetapkan 15 dan 16 Oktober depan bagi Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO yang ke-16 serentak dengan pemilihan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal yang baharu.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin juga tiada pertandingan pada pemilihan itu nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|