Papar: Rumah kongsi 10 pintu musnah dalam kebakaran di Batu 30, Kimanis, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.55 malam.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati api marak di rumah kongsi berkenaan dan operasi pemadaman segara dilakukan.
“Pemadaman menggunakan dua aliran dari pili bomba berhampiran dan operasi terkawal pada 12.30 tengah malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan rumah kongsi 10 pintu musnah terbakar.
“Operasi ditamatkan jam 1.59 pagi dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya.
-Deasoka