PPM tahan lelaki bawa 4,000 liter diesel tanpa permit

PPM tahan lelaki bawa 4,000 liter diesel tanpa permit

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemandu lori tangki disyaki membawa muatan kira-kira 4,000 liter diesel tanpa permit di sebuah stesen minyak di Kampung Air, di sini, semalam.

Lelaki berusia 21 tahun ditahan anggota PPM Kota Kinabalu ketika sedang mengisi tangki minyak berkenaan, kira-kira jam 8 pagi.

Bot pam dan peralatan disyaki digunakan untuk mengebom ikan dirampas.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, bertindak atas maklumat berkenaan penyelewengan diesel, pihaknya mengekori sebuah lori tangki di kawasan stesen minyak di Kampung Air.

Katanya, ketika sedang mengisi diesel ke dalam tangki lori, anggota PPM bertindak menahan lelaki terbabit.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran membawa barang kawalan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Lori tangki berkenaan juga telah diisi kira-kira 4,000 liter diesel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, pada hari sama jam 7.30 malam, anggota PPM menahan sebuah bot pum di perairan Pulau Gaya dan menemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mengebom ikan.

Katanya, pemilik bot terbabit melarikan diri ke hutan di Pulau Gaya.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM170,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan masyarakat terutama masyarakat maritim dan pesisir pantai untuk menyalurkan maklumat kepada PPM melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-9391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|