Panik dituduh terbabit kes AMLA, guru rugi RM9,900

Panik dituduh terbabit kes AMLA, guru rugi RM9,900

Kota Marudu: Akibat terlalu takut kerana didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram (AMLA), seorang guru menyerahkan nama dan kata laluan perbankan internet miliknya menyebabkan kerugian RM9,900.

Kejadian berlaku pada 1 Mac lalu apabila mangsa lelaki berusia 52 tahun menerima panggilan individu mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan mempunyai tunggakan cukai syarikat, ketika berada di tempat kerjanya di Pitas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa kemudian diminta menghubungi satu lagi nombor yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Katanya, individu yang mendakwa kononnya pegawai polis itu kemudian memaklumkan nama mangsa telah terbabit dengan AMLA.

“Lalu mangsa diminta untuk memberikan maklumat akaun peribadi miliknya.

“Oleh kerana berasa takut dan panik, mangsa mengikut arahan yang diberikan sehingga mangsa memberikan maklumat nama serta kata laluan akaun bank miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada 21 Mac lalu mangsa membuat semakan dalam talian akaun miliknya dan mendapati terdapat transaksi dilakukan daripada akaunnya kepada akaun milik individu yang tidak dikenali berjumlah RM9,900.

“Menyedari ditipu, mangsa kemudian tampil buat laporan polis di atas kehilangan wang dalam akaun miliknya, pada 22 Mac lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|