Rokok seludup bernilai RM1.038 juta dirampas

Tawau: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya merampas 8,650 karton rokok bernilai RM1.038 juta yang cuba diseludup masuk dalam operasi ‘Op Benteng’ di perairan daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kejayaan berkenaan hasil pengesanan empat bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Batu 3, di sini.

Anggota ATB2 yang berjaya merampas rokok seludup.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ATB2 hari ini berkata, berdasarkan pengesanan berkenaan, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) menugaskan Tim Quick Reaction Force (QRF) segera melakukan tinjauan ke lokasi berhampiran.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya mengesan sebuah lagi lori muatan jenis HICOM berwarna putih yang ditinggalkan di lokasi berhampiran.

Lori yang membawa muatan rokok seludup.

“Lori yang ditinggalkan itu dipercayai digunakan bagi tujuan membawa semua rokok seludup berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui 8,650 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM1.038 juta,” katanya.

Lokasi tangkapan rokok yang cuba diseludup masuk ke Tawau.

Menurutnya, semua barang rampasan dan lori berkenaan terus diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau IPD Tawau untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2 atas kejayaan operasi kali ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan Perairan Pantai Timur Sabah.

“ATB2 sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara.

“ATB 2 juga akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,” katanya.

Abdul Karim berkata, ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum melalui aturgerak kelengkapan berteknologi tinggi dalam mengesan sebarang pencerobohan di perairan negara.

Katanya, ia sekali gus tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|