Meriahnya Pesta Kaamatan

Penampang: Selepas dua tahun sambutan Pesta Kaamatan tidak diadakan secara bersemuka, Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mulai dibanjiri ribuan pengunjung sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Deasoka.com mendapati, rumah-rumah kebudayaan antara menjadi tumpuan orang ramai untuk mengenali lebih mendalam mengenai suku kaum dari rumpun Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di negeri ini.

Janin menunjukkan cara untuk bermain alat muzik tradisional di rumah tradisi suku kaum Bisaya.

Bagaimanapun, yang paling unik antara rumah kebudayaan yang ada ialah rumah dari suku kaum Bisaya iaitu salah satu rumpun suku Dusun beragama Islam yang turut meraikan bersama Pesta Kaamatan.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Janin Abas, keunikan yang ada pada kaum mereka itu menjadikan rumah tradisional Bisaya menjadi tumpuan.

Orang ramai mengambil peluang bermain permainan tradisional ‘Lansaran’ bagi suku kaum Murut.

“Di rumah tradisional Bisaya, kami menyediakan pameran pakaian pengantin Bisaya, alat muzik tradisional yang dipanggil ‘pergandangan’ iaitu set kulintangan dan gong serta tarian tradisional suku kaum Bisaya yang didatangkan khas dari Beaufort.

“Selain itu, pengunjung juga turut dihidangkan dengan makanan tradisional seperti ambuyat (sagu) dan sayur-sayuran kampung seperi pucuk rotan, umbut serta ikan bakar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya lagi, selepas dua tahun tidak dibuka kepada orang awam berikutan pandemik Covid-19 melanda negara, tahun ini merupakan peluang untuk persatuan itu memperkenalkan budaya mereka kepada orang ramai terutama pelancong asing.

“Kami sudah membuat persiapan untuk membaik pulih rumah tradisional ini sejak awal Mei lalu dan hanya siap beberapa hari sebelum kemuncak pesta ini.

“Sehingga hari ini, kami sudah menerima ribuan pelancong tempatan dan asing iaitu dari Itali, Jerman, Korea Selatan dan China. Kami beri mereka peluang untuk belajar mengenai adat dan budaya suku kaum Bisaya supaya mereka boleh sampaikan kepada rakan senegara mereka apabila pulang nanti,” katanya.

Janin dalam pada itu menyeru lebih ramai pengunjung datang ke acara kemuncak yang diadakan pada Selasa.

“Rumah tradisi kami dibuka sepanjang Pesta Kaamatan ini sehingga esok petang dan rumah kami terletak di hadapan pintu masuk ke rumah-rumah tradisional KDMR,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa rumah tradisional lain terdapat juga pameran pakaian dan permainan tradisional di mana orang ramai boleh mencubanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|