Dua ditahan, Ops Mabuk IPD Keningau

Keningau: Dua pemandu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi yang dijalankan di Kilometer 1, Jalan Apin-Apin, di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 10.30 malam itu, seramai enam pemandu yang disyaki mabuk ditahan untuk pemeriksaan.

Pasukan operasi menjalankan sekatan jalan raya Op Mabuk di Kilometer 1, Jalan Apin-Apin, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, sekatan jalan raya Op Mabuk dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD).

Katanya, hasil ujian saringan mabuk mendapati, dua pemandu warga tempatan dikesan berada di bawah pengaruh alkohol

“Kedua-dua suspek menunjuk bacaan melebihi kadar yang ditetapkan dan mereka terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih RM30,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, walaupun operasi mabuk ini kerap kali diadakan, namun masih terdapat individu yang dikesan memandu kenderaan semasa dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, Nor Rafidah berkata, dalam operasi sama, sebanyak 30 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, pihak BSPTD Keningau akan meneruskan operasi seumpama ini bagi menyampaikan mesej kerajaan untuk membendung gejala pemandu mabuk.

“Dinasihatkan juga kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|