Rokok, minuman keras seludup bernilai RM8.88 juta dirampas

Rokok, minuman keras seludup bernilai RM8.88 juta dirampas

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas tiga kontena berisi rokok serta minuman keras bernilai RM8.88 juta termasuk duti dan cukai di Pelabuhan Sepanggar, di sini, baru-baru ini.

Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.

Yu Min (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, rampasan pertama berjaya dilakukan pada 10 September lalu membabitkan sebuah kontena yang dikesan membawa 10.2 juta batang rokok.

Manakala katanya, rampasan kedua pula berjaya dilakukan pada 18 September lalu apabila dua kontena berisi keseluruhan 52,272 liter minuman keras dikesan.

Yu Min memeriksa bungkusan rokok yang dirampas JKDM Sabah di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Modus operasi yang digunakan adalah dengan mengikrarkan dagangan import sebagai barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, usaha JKDM yang sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti melibatkan penyeludupan barang larangan berjaya mematahkan kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pelabuhan Sabah, di sini, hari ini.

Yu Min berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967 dan akan disusuli dengan tangkapan individu yang terlibat.

Sementara itu, Yu Min berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|