MoU SSTC, pemain industri mantapkan pembangunan modal insan

MoU SSTC, pemain industri mantapkan pembangunan modal insan

Kota Kinabalu: Sabah Skills & Technology Sabah (SSTC) menjalin kerjasama bersama pemain industri bagi memaksimumkan penggunaan sumber dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, kerjasama itu merupakan langkah proaktif dalam melahirkan golongan muda yang terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan.

Katanya, semua pihak yang terlibat akan menyokong satu sama lain dalam aktiviti-aktiviti yang merangkumi pemasaran dan perkongsian latihan pada masa akan datang.

“Kita lihat ini sebagai satu usaha kerjasama yang sangat positif di mana pihak SSTC, di bawah kementerian KSTI, akan melatih dan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran.

“Pada akhirnya, kita dapat menempatkan mereka untuk terus bekerja dengan rakan-rakan yang turut sama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU),” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis MoU yang diadakan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, hari ini.

Antara syarikat yang terlibat dalam MoU bersama SSTC ialah Dewan Perniagaan & Industri Antarabangsa Malaysia Sabah (MICCI), Majlis Pelabur KKIP (KIC), Persatuan Penghantar Barang & Logistik Sabah (SABFFLA) dan Persatuan Pengusaha Lori Kontena Kota Kinabalu (PPLKKK).

Turut hadir Setiausaha Tetap KSTI, Zainudin Aman; Pengerusi SSTC, Datuk John Choo; Mantan Pengerusi MICCI Sabah, Datuk Seri Wong Khen Thau; Presiden KIC, Phang Ah Cheng; Presiden SABFFLA, Datuk Johnson Dai dan Presiden PPLKKK, Joseph Chong.

Sementara itu, Yakub berkata, mana-mana syarikat atau pemain industri yang memerlukan perkhidmatan dan tenaga kerja turut dipelawa untuk bekerjasama dengan SSTC.

“Kita dapati daripada maklumat yang ada bahawa terdapat lebih 300 (ahli) syarikat yang terlibat dalam industri ini, jadi ianya satu ruang yang sangat besar, sangat luas.

“Saya yakin dan percaya kalau usaha sama ini dimanfaatkan sepenuhnya, kita akan dapat mengisi kekosongan-kekosongan yang ada,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|