KKM sasar 5 peratus peruntukan kesihatan dalam Bajet 2023

KKM sasar 5 peratus peruntukan kesihatan dalam Bajet 2023

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sebanyak lima peratus daripada belanjawan keseluruhan diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi meningkatkan sistem kesihatan awam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan ketika ini keseluruhan bajet untuk sistem kesihatan dalam negara adalah 4.3 atau 4.4 peratus bagi sektor awam.

“Sewajarnya kalau kita dapat tingkatkan kepada lima peratus untuk sistem kesihatan awam itulah sasaran kita, jadi kalau ditambah dengan swasta mungkin jadi tujuh atau lapan peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-24 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Katanya, di United Kingdom dan Australia kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk kesihatan lebih kurang 10 atau 11 peratus manakala di Amerika Syarikat paling tinggi hampir 19 dan 20 peratus.

“Kita di KKM hanya 2.1 peratus saja KDNK jadi tidak mencukupi, jadi kita berharap selepas lihat pandemik Covid-19 pentingnya kesihatan negara untuk dilaburkan di sektor kesihatan.

“Jadi kalau ini dapat dipertingkatkan, kita akan dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat kepada rakyat Malaysia terutama mereka di pedalaman,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai program berkenaan, Noor Hisham berkata, negara memerlukan kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga untuk ditempatkan di semua klinik kesihatan.

“Kita dulu bermula dengan 42 fasiliti yang ada pakar perubatan keluarga tetapi sekarang kita sudah pertingkatkan iaitu melihat spektrum rawatan kepada komuniti kita dan sekarang kita ada hampir 1,100 pakar perubatan keluarga.

“Sekarang ini dalam kapasiti kita memang memerlukan lebih kurang 8,000 pakar perubatan keluarga supaya dapat ditempatkan di semua klinik-klinik kita tetapi dalam masa sama kita dalam proses untuk meningkatkan lagi usaha menerusi program ijazah sarjana perubatan keluarga di universiti dan kolej tempatan,” katanya.

Katanya lagi, KKM juga mungkin akan bekerjasama dengan kolej lain dari luar negara dalam usaha meningkatkan jumlah pakar perubatan keluarga di negara ini.

“Kalau kita bekerjasama dengan kolej-kolej luar, apabila mereka telah lulus sebagai pakar perubatan keluarga, mereka akan turut diiktiraf di negara lain bukan hanya di negara kita.

“Jadi ini penting supaya kita dapat pakar perubatan yang berkualiti yang diiktiraf oleh banyak negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|