Jangan terpengaruh sentimen peribadi – Robert Tawik

Jangan terpengaruh sentimen peribadi – Robert Tawik

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyeru rakyat Sabah, khususnya ahli parti itu agar tidak terpengaruh dengan sentimen peribadi seorang pemimpinnya yang menuduh kepimpinan parti itu bekerjasama dengan Barisan Nasional (GRS-BN).

Timbalan Presidennya, Datuk Robert Tawik, berkata pandangan pemimpin terbabit yang mendakwa kerjasama dengan BN sebagai pengkhianatan kepada penyokong adalah pandangan peribadinya.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli parti itu perlu menyedari bahawa kerajaan negeri sekarang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) yang terbentuk daripada kerjasama di antara Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Katanya, melalui kerajaan GRS-BN, banyak pencapaian positif, termasuk pengembalian secara berperingkat hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga komited dalam menyatupadukan rakyat Sabah demi memperjuangkan hak-hak Sabah.

“Perjuangan menuntut hak Sabah bukan bergantung dengan parti politik, ia bergantung kepada suara wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan peribadi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) STAR, Jovilis Majami dalam hantarannya di laman Facebook yang mendakwa tindakan bergabung dengan BN sebagai membelakangkan prinsip perjuangan parti itu.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya negeri berkata, GRS ditubuhkan bagi menyatukan parti-parti tempatan negeri ini untuk bersama-sama memperjuangkan hak dan kepentingan negeri Sabah.

Menurutnya, GRS ditubuhkan bukan sekadar ‘suka-suka’, sebaliknya ia merupakan satu gabungan dan wadah utama penyatuan suara rakyat yang menyayangkan negeri ini.

Tambahnya, perlu diingat tidak ada satu parti politik yang akan berjaya memerintah di peringkat negeri mahupun persekutuan dalam keadaan dan senario politik sekarang, sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Justeru, katanya, tidak wajar untuk Jovilis mengeluarkan kenyataan sombong dengan menyeru kepimpinan STAR meneliti keberadaan parti dalam GRS.

“Saya ingin menegaskan, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak pernah terpesong daripada perjuangan menuntut hak-hak Sabah. STAR Sabah juga tidak akan meninggalkan GRS seperti yang diminta oleh Jovilis.

“GRS sedia bekerjasama dengan semua parti politik tempatan, namun dalam PRU Ke-15, soal ia akan bekerjasama dengan BN bergantung kepada keputusan kepimpinan parti setelah membuat kajian dan penelitian mendalam daripada pelbagai sudut.

“Sebaliknya, ia bukan ditentukan oleh Jovilis secara individu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli-ahli dan pemimpin STAR Sabah agar terus merapatkan saf, selain mendekati rakyat akar umbi bagi memberi penerangan perjuangan parti dan GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|