RM9.5 juta untuk promosi budaya, etnik Sabah

RM9.5 juta untuk promosi budaya, etnik Sabah

Semporna: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) bagi mempromosikan kekayaan budaya dan kepelbagaian etnik negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM400,000 kepada persatuan kebudayaan untuk aktiviti kebudayaan, kesenian dan bahasa.

Katanya, semua peruntukan itu adalah tanda keseriusan kerajaan negeri dalam meningkatkan semula sektor pelancongan di Sabah.

“Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah untuk pelancong dalam dan luar negara sebagai usaha mempromosikan sektor ini.

“Ia termasuklah bersedia terhadap perubahan dalam industri pelancongan yang dalam fasa peralihan ke endemik,” katanya pada Majlis Penangguhan Sambutan Pesta Regatta Lepa, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Regatta Lepa, Juraimin Jadil.

Hajiji berkata, untuk masa hadapan, pemain industri pelancongan mesti bersifat inovatif, sedia untuk berubah dalam mengatasi pelbagai kekangan yang dihadapi termasuk situasi negara beralih ke endemik.

Katanya, penduduk Sabah yang terdiri daripada pelbagai budaya dengan lebih 30 kumpulan etnik adalah aset yang menjadi tarikan negeri ini.

“Kepelbagaian ini adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu dikekalkan selamanya.

“Justeru, seluruh rakyat diminta mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi akan datang,” katanya.

Lembukaan sempadan negara, katanya membawa khabar gembira kerana sektor pelancongan negeri mula menunjukkan peningkatan.

“Buktinya, semasa pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kota Kinabalu baru-baru ini berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM16 juta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|