Kenapa perlu tangguh pembangunan, sila hormat MA63: Yakub

Kenapa perlu tangguh pembangunan, sila hormat MA63: Yakub

Kota Kinabalu: Projek melibatkan pembangunan dan infra yang belum bermula di Sabah dan Sarawak sewajarnya tidak ditangguh atau dibatalkan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, projek pembangunan di negeri ini dan jiran seranta perlu dipertimbang serta diteruskan bagi menghormati kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, kerajaan pusat dalam masa sama turut menyedari bahawa industri minyak dan gas di kedua-dua negeri (Sabah Sarawak) adalah mencukupi bagi menanggung keperluan pembangunan negeri Kepulauan Borneo ini.

“Selaras dengan MA63, Kerajaan Persekutuan perlu juga memikirkan keadaan pembangunan infra di Sabah dan Sarawak.

“Malah, industri minyak dan gas yang terhasil daripada Sabah dan Sarawak juga dilihat boleh menampung kemampuan projek pembangunan yang akan dilaksana, jadi saya berpendapat adalah tidak adil sekiranya projek yang belum bermula tidak dipertimbang untuk diteruskan atau dibatalkan.

“Pembangunan yang pesat di Sabah era BN telah banyak ditangguh dan dibatalkan oleh kerajaan PH dan disambung lagi kelewatan pembangunan di Sabah disebabkan pandemik Covid 19, jadi tidak seharusnya berlaku untuk kali yang ketiga untuk Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu berkata demikian ketika membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai isu kesediaan kerajaan pusat menangguh atau membatalkan projek yang bermula di negara ini.

Mustapa, atau lebih dikenali Tok Pa dalam satu majlis perasmian tertutup di sebuah universiti di Kelantan berkata, langkah demikian adalah sebagai penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk pemulihan ekonomi negara.

Sementara itu, Yakub dalam masa sama membidas cadangan tersebut memandangkan ia secara tidak langsung boleh membantutkan usaha negeri Sabah membangunkan beberapa sektor ekonomi yang didorong oleh projek pembangunan infra.

“Perlu diingat, kita baharu sahaja mengalami pasca endemik selepas terkesan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Sudah tentu, kita memerlukan suntikan ekonomi daripada kerajaan pusat bagi membangunkan semula sektor yang terjejas terutamanya industri pelancongan di Sabah, jadi isu seperti ini haruslah diselesaikan secara tuntas sama ada di meja perundingan atau pun peringkat pentadbiran, “katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|