Hampir 10 jam tersesat di hutan, lelaki ditemui selamat

Hampir 10 jam tersesat di hutan, lelaki ditemui selamat

Kota Belud: Seorang lelaki yang hilang selepas dipercayai tersesat hampir 10 jam di dalam hutan di Kampung Dudar, di sini, ditemui selamat, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 33 tahun itu dilaporkan masuk ke hutan berkenaan untuk melawat tanah pusaka sekitar jam 4 petang sebelum disedari hilang selepas gagal dihubungi ahli keluarga.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 malam.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Sebaik gagal dihubungi, ahli keluarga khuatir mangsa tersesat di dalam hutan. Operasi mencari mangsa terus dijalankan oleh pasukan operasi bersama penduduk kampung.

“Selepas beberapa jam pencarian, mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa meletakkan kenderaannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik dipastikan dalam keadaan selamat, mangsa terus diserahkan kepada ahli keluarganya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.50 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|