Harapan Rakyat masih tunggu keputusan sertai GRS

Harapan Rakyat masih tunggu keputusan sertai GRS

Tawau: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) masih menunggu keputusan mengenai permohonan parti itu untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata pihaknya sudah menghantar borang permohonan kepada pucuk pimpinan GRS.

“Sebelum ini, memang dari awal Harapan Rakyat dijemput untuk menyertai GRS bagi menguatkan lagi gabungan tersebut.

“Kami dimaklumkan permohonan tersebut hanya menunggu untuk disokong sahaja dan difahamkan ia tidak ada masalah untuk diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Agung Perwakilan Tahunan 2022 Parti Harapan Rakyat Sabah, di sini semalam.

Katanya, Harapan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat di pantai timur Sabah, khasnya di daerah ini.

“Kami sudah menerima hampir 2,000 orang kemasukan ahli baharu daripada daerah Tawau, Kunak dan Lahad Datu.

“Harapan Rakyat juga sudah mula mewujudkan cawangan di peringkat bahagian di daerah Kunak dan Lahad Datu baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, katanya Harapan Rakyat terus fokus untuk memperjuangkan pembangunan di pantai timur Sabah khasnya di Tawau.

“Kami tidak mahu terlalu sibuk berpolitik, sebaliknya agenda utama Harapan Rakyat mahu terus bersuara bagi memenuhi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Rina Jainal berkata Sabah berupaya mencontohi Sarawak yang mempunyai suara penuh dalam kepimpinan kerajaan melalui gabungan parti lokal.

Katanya, perkara itu boleh dicapai dan tidak susah untuk direalisasikan kerana yang penting semua komponen parti GRS bersatu padu.

“Matlamat kita parti lokal untuk memimpin kerajaan negeri seperti di Sarawak yang mempunyai suara bulat dalam kalangan pemimpinnya.

“Kewujudan Harapan Rakyat adalah berinspirasi untuk menjadikan Sabah mampu ditadbir parti pimpinan tempatan dan fokus membawa lebih banyak pembangunan di daerah Tawau,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|