Sidang DUN Sabah: Sabah akan rayu kerajaan Persekutuan jika tangguh, batal projek pembangunan di Sabah

Sidang DUN Sabah: Sabah akan rayu kerajaan Persekutuan jika tangguh, batal projek pembangunan di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan membuat rayuan kepada kerajaan Persekutuan sekiranya tindakan menangguhkan atau membatalkan terus sebarang projek pembangunan turut dilaksanakan di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun keputusan kerajaan Persekutuan berhubung penangguhan projek pembangunan belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri namun beliau berharap ia tidak dilaksanakan di Sabah.

“Isu ini baru saya baca hari ini, sebenarnya kita belum dimaklumkan keputusan atau pun tindakan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan peruntukan bagi projek-projek pembangunan di Sabah.

“Memandangkan Sabah ini kita memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan infrastruktur dan lain-lain. Kalaulah perkara ini sampai ke pihak negeri, kita akan merayu dan kita akan minta kerajaan Persekutuah supaya tidak menangguhkan peruntukan-peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada Sabah.

“Ini amat penting kerana kita pun selalu menyatakan bahawa peruntukan diberikan kepada Sabah tidak cukup, jadi kalau tidak cukup, mereka tarik balik, tangguh lagi balik, saya rasa ini tidak berapa sesuailah untuk kita di Sabah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) berhubung keputusan kerajaan Pusat yang akan menangguhkan atau membatalkan semua projek yang belum dimulakan sebagai langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak kerajaan negeri akan merayu semula kepada kerajaan Perseketuan jika ia dilaksanakan juga di Sabah.

“Saya memberi jaminan bahawa kita akan cuba sedaya upaya untuk merayu semula kepada kerajaan Persekutuan kalau ada dasar begitu.

“Tetapi sehingga kini, kita belum terima keputusan itu, kita akan merayu kepada kerajaan Persekutuan supaya tidak menangguhkan sebarang projek-projek pembangunan yang telah dirancang di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|