RM800 juta untuk tangani masalah banjir di Sabah

RM800 juta untuk tangani masalah banjir di Sabah

Papar: Sebanyak RM800 juta peruntukan telah diluluskan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi menangani isu banjir di Sabah termasuk membabitkan empat projek di dua daerah di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam lawatan kerja beliau ke negeri ini dengan meninjau beberapa lokasi yang dikenal pasti sering mengalami masalah banjir.

Tuan Ibrahim mendengar taklimat berkaitan kawasan yang akan dilaksanakan projek bagi menanggani isu banjir di Kampung Pengalat, Papar.

“Saya telah mengadakan lawatan kerja ke Beaufort dan Papar khasnya kawasan yang mengalami kejadian banjir pantai dan hakisan sungai serta mendengar taklimat berhubung perancangan projek tebatan banjir di kawasan ini.

“Untuk makluman, bagi daerah kecil Membakut, kita memperuntukkan RM30 juta bagi pembinaan laluan banjir bagi Sungai Membakut ke Sungai Binsuluk manakala yang projek kedua adalah pemuliharaan Sungai Padas, Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

“Ketiga, projek mengatasi banjir pantai dengan jumlah peruntukan sebanyak RM32 juta termasuk kawasan yang saya lawat ini (Kampung Kuala Dalam dan Kampung Pengalat) dan kalau kita lihat sebahagian kawasan telah mendap dan memerlukan pembinaan.

“Bagi projek keempat pula melibatkan kerja pengaliran dan penstabilan tebing sungai di Hulu Sulim di Kampung Labak, Kinarut dengan peruntukan hampir RM150,000 membabitkan pengaluran sungai sejauh 300 meter dan penstabilan tebing sungai sejauh 45 meter,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kampung Pengalat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan semua projek berkenaan dijangka akan dilaksanakan bermula awal tahun depan dan setiap projek mempunyai tempoh masanya masing-masing bergantung kepada keadaan projek.

“Tetapi kita berharap dengan kelulusan RM800 juta ini sebagai satu berita gembira khususnya untuk kawasan ini yang selama ini tenggalam disebabkan banjir dan sebagainya,” katanya.

Sebelum itu, hadir sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|