OKU hilang di hutan sejak semalam, ditemui selamat

OKU hilang di hutan sejak semalam, ditemui selamat

Penampang: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di hutan di Kampung Kituau, di sini, malam tadi, ditemui selamat, hari ini.

Mangsa berusia 39 tahun terbabit berjaya ditemui pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 200 meter dari rumahnya, pada jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari rumahnya oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa berjaya ditemui selepas pasukan operasi menemui beberapa kesan tanah yang dipercayai dikorek mangsa.

Katanya, berdasarkan penemuan itu, pasukan operasi terus mengikuti petunjuk sehingga mangsa berjaya ditemui.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak tengah hari, semalam.

Pasukan operasi mengangkat mangsa berikutan keadaan mangsa yang lemah selepas tidak makan sejak petang semalam.

“Mangsa terus diberikan pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa balik ke rumahnya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi.

Dalam kejadian semalam, mangsa disedari hilang pada jam 3 petang oleh ahli keluarganya sebelum membuat laporan untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.

Usaha mencari mangsa terus dijalankan dengan bantuan penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui sehingga operasi ditangguh pada jam 11.30 malam.

Operasi kemudiannya disambung semula pada jam 7.30 pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|