FDI Sabah diujur melebihi RM7 bilon tahun ini

FDI Sabah diujur melebihi RM7 bilon tahun ini

Kota Kinabalu: Pelaburan terus asing (FDI) Sabah diunjur melebihi RM7 bilion berikutan kemasukan pelaburan berimpak tinggi pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini saja, Sabah menerima pelaburan asing berjumlah RM5.1 bilion.

Hajiji menemui delegasi Majlis Duta Arab di Malaysia di Kota Kinabalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM4.4 bilion pelaburan asing yang direkodkan pada Jun tahun lalu.

“Ia sekali gus meletakkan Sabah negeri ketiga menerima pelaburan asing terbesar di Malaysia,” katanya pada majlis makan malam meraikan Majlis Duta Arab di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Delegasi Majlis Duta Arab merangkumi sembilan diplomat yang diketuai Duta Yaman ke Malaysia yang juga Dekan Arab Diplomatic Corps di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid.

Dr Adel Mohamed menyampaikan cenderamata kepada Hajiji pada pertemuan dengan delegasi Majlis Duta Arab di Kota Kinabalu.

Diplomat lain ialah Duta Somalia ke Malaysia yang juga Dekan African Corp, Abukar Abdi Osman; Duta Emeriah Arab Bersatu ke Malaysia, Khalid AlGhaith; Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Duta Jordan ke Malaysia, Thamer Abdalla Mohammad Adwan.

Selebihnya ialah Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali; Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Yousef Kafoud; Duta Libya ke Malaysia, Mohamed AM Attia dan Charge D’Affaires Republik Sudan di Malaysia, Omer Mahgoub Ahmed Oushek.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata beliau yakin Sabah kekal menjadi destinasi yang menarik untuk pelaburan.

“Saya menekankan sejak dari awal bahawa kita mahu menjadi negeri mesra pelabur dan kita akan memudahkan semua pelaburan ke negeri ini,” katanya.

Dalam hubungan itu, Hajiji mengajak Majlis Duta Arab untuk menimbangkan Sabah yang mana kerajaan negeri akan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.

Hajiji berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, Malaysia menjadi rakan dagang yang baik dengan negara-negara Arab.

Sebagai contoh, katanya nilai perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 13.2 peratus kepada RM2.87 bilion berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi juga meningkat 116.7 peratus kepada RM16.98 bilion berbanding RM7.84 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Hajiji berkata, delegasi Majlis Duta Arab juga akan diberikan taklimat oleh agensi pelaburan kerajaan negeri, Invest Sabah Berhad mengenai potensi dan peluang pelaburan di negeri ini

Sementara itu, Dr Adel Mohamed menyifatkan lawatan delegasi Majlis Duta Arab ke Sabah sebagai sesuatu yang bersejarah.

“Selepas Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kita percaya sudah tiba masanya untuk kita bergandingan tangan dalam menangani kesan pandemik,” katanya.

Dalam hubungan itu katanya Majlis Duta Arab di Malaysia memutuskan untuk melawat negeri-negeri di negara ini termasuk Sabah sambil meninjau peluang perniagaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|